Wednesday, 16 May 2012

PENGENDALIAN BUAH NAGA LEPAS TUAI



·         Pengasingan
Lakukan pengasingan di ladang dan di rumah pembungkusan.  Pilih buah yang berkualiti iaitu yang segar, matang, bebas daripada kecacatan dan kerosakan.  Asingkan buah mengikut tahap-tahap kematangan.  Gunakan sarung tangan untuk mengelakkan kecederaan pada buah.  Musnahkan buah yang ditolak dengan kaedah yang betul.
 
·         Pembersihan
Bersihkan buah dari kotoran ladang dan benda asing termasuk sarang serangga, tanah dan sebagainya.  Elakkan membersihkan buah dengan merendam buah di dalam air.  Span, berus atau kain lembut boleh digunakan semasa membersih untuk mengelakkan kecederaan pada buah.  Buah yang basah kerana hujan atau embun perlu dikeringkan menggunakan kipas pada suhu bilik.
 
·         Penggredan
Buah perlu digred dengan cermat mengikut kriteria-kriteria tertentu seperti varieti, keseragaman saiz, keseragaman kematangan, bebas daripada bahan asing, kecacatan, kecederaan dan jangkitan penyakit.  Buah pitaya mestilah memenuhi keperlukan minimum berikut:-
- mencapai peringkat kematangan yang dikehendaki pasaran.
- kandungan jumlah pepejal larut melebihi 9% Bris.
- buah masih segar dan agak bebas daripada sebarang kerosakan dan kecacatan.
 
·         Pembungkusan
Menggunakan bekas atau bahan pembungkusan yang sesuai dan boleh melindungi buah daripada kecederaan mekanikal dengan baik semasa dikendalikan.  Bahan yang digunakan untuk mengalas mestilah dari bahan lembut, bersih dan bebas daripada kesan toksik.  Berat bersih bagi satu unit pembungkusan ialah diantara 5 kg - 10 kg.  Mempunyai label seperti nama dan alamat pembungkus, perkataan 'Pitaya' dan juga varieti, negara asal, gred, kelas saiz dan  bilangan buah.
Untuk pasaran tempatan, buah hanya disusun di dalam kotak kertas mengikut gred dan juga di dalam bakul plastik.  Untuk pasaran jauh buah perlu dibalut dengan 'styrofoam' lembut dan disusun di dalam kota beralas dengan carikan kertas.  Buah disusun dalam keadaan berbaring dan carikan kertas juga diletak antara buah-buah supaya ia tidak rosak semasa pengangkutan.  Bilangan buah sekotak ialah antara 12-14  biji dengan berat 4 kg sekotak.
 
·         Simpanan Sementara
Bertujuan menurunkan suhu buah ke tahap paling rendah untuk membuang haba ladang (field heat) dengan cepat supaya jangka hayat buah menjadi lebih lama.  Elakkan perubahan suhu yang mendadak kerana ini akan mempercepatkan proses buah rosak.  Suhu simpanan yang sesuai ialah 6-7oC dengan kadar kelembapan relatif 90-95% dimana kualiti buah dapat dikekalkan sehinggga 3 minggu.  Penyimpanan pada suhu yang lebih rendah (<5oC) boleh menyebabkan berlakunya kecederaan sejuk.
 
·         Pengangkutan dan Pengedaran
Digalakkan menggunakan bakul plastik atau kotak untuk memudahkan pengendalian.  Kurangkan tempoh pengangkutan dan pemunggakan.  Gunakan pelet untuk mengurangkan pengendalian.  Gunakan lori sejuk atau lori yang bertutup kanvas yang mempunyai cukup pengudaraan dan digalakkan untuk mengangkut pada waktu cuaca sejuk. Kebanyakan pengusaha menggunakan kenderaan pacuan 4 roda atau lori kecil.  
 
·         Menggred Buah
Buah mata naga digred mengikut berat buah:-
Gred A   - berat lebih dari 450 gm
Gred B   - berat antara 300-400 gm
Gred C   - berat kurang dari 300 gm
 

No comments:

Post a Comment